Kamera

Facebook Merancang Menaiktaraf Video 360 Darjah Dengan Kamera Surround 360 x24 dan x6

Tidak berhenti setakat mengumumkan platform Augmented Reality (AR) dengan perisian telefon pintarnya, Facebook telah melancarkan dua buah kamera 360 darjah bagi memicu revolusi media sosial imersif. Pada ucaptama persidangan pembangun F8 di San Jose, California tempoh hari, CTO Facebook Mike Schroepfer mengumumkan produk kamera Surround 360 x24 dan x6.

Facebook Merancang Menaiktaraf Video 360 Darjah Dengan Kamera Surround 360 x24 dan x6

Dengan rekabentuk seakan kamera 360 darjah Nokia OZO, dua kamera keluaran Facebook masing-masing dilengkapi 24 dan 6 buah kamera dalam orientasi sfera. Ini sememangnya satu naiktaraf signifikan dari kamera Surround 360 sebelumnya yang hanya dilengkapi deretan kamera dalam susunan bulatan.

Setiap kamera pada peranti tersebut boleh merakam dalam “six degrees of freedom” atau 6DoF dan setiap kamera jauh lebih mudahalih dan tahan lasak berbanding model sebelumnya. Ini bermakna, menurut Facebook, penonton boleh bergerak ke hadapan/ke belakang, ke atas/ ke bawah dan ke kiri/ ke kanan dengan kebolehan mendongak, memutar dan memusing semasa menonton video 360 tersebut untuk mengalaminya dari sudut-sudut berbeza.

Kedua-dua model kamera itu boleh merakam keseluruhan spektrum RGB dan menggunakan algoritma penentuan kedalaman melalui pensampel-lampauan imej (Image Oversampling) untuk menghasilkan imej yang lebih baik (masing-masing melakukan tiga dan dua kali oversampling untuk model x24 dan x6). Penambahbaikan pada penganggaran kedalaman membolehkan pembikin kandungan menghasilkan video 360 darjah yang lebih menakjubkan.

Olehkerana semua imej yang dirakam oleh kamera ini disertakan maklumat anggaran kedalaman, elemen CGI boleh diintegrasikan ke dalam rakaman masa nyata kamera berkenaan. Kamera ini jelas sekali disasarkan kepada pembikin kandungan, namun memberi gambaran masa hadapan di mana video 360 darjah menjadi lebih maju dengan penyertaan efek 3D dan memberikan penonton lebih kebebasan dalam sudut menonton video tersebut berbanding hanya menonton satu sudut tontonan sahaja.

Direka dan diprototaipkan oleh makmal Area 404 milik Facebook dengan bantuan syarikat pengimejan FLIR, syarikat itu merancang untuk melesenkan produk berkenaan kepada syarikat pengilang untuk memicu adoptasi oleh membikin kandungan.

Lebih menarik, Facebook juga mendedahkan ia telah menaikkan resolusi efektif bagi video 360 darjah pada platformnya apabila menstrim pada peranti VR dan bukan VR masing-masing sebanyak 59% dan 51% menggunakan teknik machine learning atau pembelajaran mesin. Teknik AI ini meramal bahagian mana pada video tersebut yang akan pengguna fokuskan atau lebih berminat menonton dan kemudian akan menjana lebih banyak piksel pada kawasan tersebut pada masa yang betul, sekaligus meningkatkan resolusi efektif.

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top