Perisian

Pandangan Pertama : Windows 10 Mobile

Sebagai ahli Windows Insider, kami diberi akses awal kepada Windows 10 Mobile Technical Preview. Walaupun ia belum lengkap sepenuhnya, OS ini sudah berada di tahap yang boleh digunakan dengan baik dan sejak beberapa hari lepas, kami membuat pengujian OS mudahalih ini dan kini kami tampil dengan ulasan awal.

Windows 10 Mobile

Pandangan Pertama : Windows 10 Mobile

Populariti Windows Phone semakin lama semakin merudum sejak akhir-akhir ini dan OS Windows 10 Mobile dilihat akan menjadi penentu samada OS tersebut akan terus hidup atau akan dihentikan.

Sebelum ke ulasan utama mengenai OS ini, satu kesimpulan awal dapat diperhatikan iaitu, Windows 10 Mobile adalah satu penambahbaikan besar ke atas Windows Phone 8.1 dari segi fungsi, rekabentuk antaramuka dan elemen mesra pengguna.

Kami rasakan pengguna setia Windows Phone akan gembira melihat penambahbaikan yang ditampilkan dalam pembaharuan ini. Walaubagaimanapun, kami tidak menjangkakan ia mampu menarik pengguna-pengguna platform lain untuk beralih kepadanya, melainkan jika anda pengguna korporat atau syarikat yang ingin mendapatkan telefon pintar untuk pekerjanya. Itu pun bukan sebab yang kuat untuk beralih. Salah satu faktor yang mengekang minat pengguna kepadanya adalah kerana jumlah aplikasi yang kecil di gedung aplikasi Microsoft. Apa pun, kami telah menyediakan ulasan ringkas mengenai ciri-ciri baharu Windows 10 Mobile (Technical Preview buat masa ini) untuk pertimbangan mereka yang meminati platform ini.

Rekabentuk Antaramuka

Untuk Windows 10 Mobile, Microsoft telah berjaya menyelaras rekabentuk antaramukanya selaras dengan versi PC dan pengguna akan dapat melihat rekabentuk antaramuka yang serupa dengan apa yang dilihat di versi PC.

Ia tidak lagi menggunakan animasi antaramuka paralaks yang digunakan pada Windows Phone 8.1, sebaliknya menggunakan animasi antaramuka yang lebih ringkas dan mirip kepada Google. Ini kami rasakan menyumbang kepada kelancaran antaramukanya secara keseluruhan.

Antaramuka Tiles Windows 10 Mobile telah diperkemaskan berbanding versi sebelumnya. Kini pengguna boleh melakukan lebih banyak customization ke atas tiles seperti mengubah kadar telus cahaya setiap tiles dan pengguna juga boleh meletakkan gambar latarbelakang sendiri yang dipaparkan secara penuh di skrin utama telefon pintar itu.

wp_ss_20160214_0003

Paparan kekunci juga telah diubahsuai sedikit di mana semasa meleretkan jari ke atas untuk membuka kekunci hanya paparan tulisan sahaja yang akan bergerak ke atas, berbanding dalam Windows Phone 8.1 di mana seluruh skrin kekunci termasuk gambar latarbelakang akan bergerak ke atas, mendedahkan muka utama telefon pintar tersebut.

wp_ss_20160211_0001

Walaubagaimanapun, paparan maklumat pada muka kekunci seperti Masa, tarikh, jumlah mesej/SMS/Whatsapp baharu, email baharu dan juga maklumat kalendar masih boleh ditetapkan untuk dipaparkan di skrin kekunci. Pengguna juga boleh menetapkan aplikasi seperti Al Jazeera untuk memaparkan berita terkini pada skrin kekunci.

wp_ss_20160212_0002

Action Center

Action center juga telah diselaraskan dengan Windows 10 versi desktop dan anda juga boleh menetapkan senarai 4 setting utama yang akan dipaparkan padanya. Senarai ini boleh diperkembangkan untuk memaparkan semua setting yang ada pada Action Center. Ini memudahkan capaian kepada setting yang biasanya mengambil beberapa langkah untuk diakses dalam Windows Phone 8.1.

wp_ss_20160214_0004wp_ss_20160212_0005

Antaramuka settings juga telah diubahsuai untuk kelihatan seperti Windows !0, memudahkan navigasi dan capaian kepada pelbagai setting yang biasa digunakan. Pengguna juga boleh mencari setting yang diingini menggunakan kotak carian, ini tentu memudahkan capaian kepada setting yang diingini.

wp_ss_20160212_0003

Gedung Aplikasi Microsoft

Walaupun umum sedia maklum bahawa aplikasi di Gedung Aplikasi Microsoft tidak banyak, namun microsoft telah mengemaskini rekabentuk antaramukanya bagi memberikannya daya tarikan kepada pengguna, walaupun kemungkinan untuk mencari aplikasi yang mereka ingini tidak besar.

wp_ss_20160213_0003

Outlook

Antaramuka aplikasi email Outlook juga telah dipertingkatkan. Jika dahulu, pengguna perlu membuat tile berasingan untuk setiap akaun email, kini pengguna boleh meletakkan semua akaun email di bawah satu tile dan menggunakan menu di dalam aplikasi email itu untuk bertukar kepada akaun-akaun email yang dimiliki pengguna.

wp_ss_20160214_0002-1 wp_ss_20160214_0001

Groove Music

Groove Music merupakan pemain muzik rasmi bagi Windows Phone dan telah ada sejak pengenalan Windows 8 dan Windows Phone 8 lagi. Namun, versi terbaharu ini lebih kemas dan lebih teratur dalam susunannya.

wp_ss_20160213_0004

Antaramukanya juga memudahkan penghasilan playlist dan menambah lagu ke dalam playlist tersebut. Pengguna hanya perlu tap pada sebuah lagu sehingga satu menu dipaparkan dan pilih menu “add to”. Kemudian pilih playlist mana yang ingin anda tambahkan lagu tadi.

wp_ss_20160214_0005

File Explorer

Selari dengan matlamatnya untuk menyelaraskan pengalaman pengguaan Windows 10 pada PC dan peranti mudahalih, Microsoft telah mereka semula OS mudahalihnya untuk menyokong sistem fail, sepertimana pada PC. Sistem fail in membolehkan pengguna menavigasi semua folder dalam peranti atau pada kad SD dengan lebih mudah. Sistem fail in boleh dicapai melalui aplikasi File Explorer.

Edge Browser

Pelayar web Edge meperbaiki banyak masalah yang dihadapi dengan Internet Explorer (IE) dalam versi Windows Phone sebelum ini. Pertama sekali, ia melayari web dengan lebih lancar daripada IE. Paling terkesan adalah semasa memainkan video di mana Edge melarikan video dengan lebih cepat dan stabil, walaupun kadang-kala terdapat ralat di mana video tidak dimainkan.

Ia juga menyertakan beberapa fungsi yang tidak ada pada IE seperti Reading List. Fungsi ini sama seperti di dalam iOS di mana pengguna boleh menyimpan sebuah website untuk dibaca di suatu masa yang lain.

Paling menarik adalah kebolehan untuk memuat-turun fail dari internet hasil penggunaan sebuah sistem fail yang menyokong simpanan fail dari luar. Walaupun fungsi ini terdapat pada Android, ia tidak disokong di iOS membawa masalah sekiranya pengguna mahu memuatturun fail audio atau zip dari internet.

Di sini kami telah memuatturun dua buah lagi percuma dari last.fm.

Aplikasi Microsoft

Aplikasi-aplikasi Office seperti Word, Powerpoint dan Excel telah dipertingkatkan dengan antaramuka yang lebih mesra pengguna, lancar dan stabil. Ini merupakan penambahbaikan ketara berbanding versi sebelumnya.

Tetapi aplikasi OneDrive bagi kami gagal berfungsi dengan baik di mana gambar gagal dimuatnaik secara automatik. Barangkali sistem OneDrive Cloud masih belum serasi dengan aplikasi OneDrive pada Windows 10 Mobile. Diharap ia dapat dibaiki dengan segera.

Aplikasi kecil Microsoft seperti Weather, Voice Recorder, Translator dan banyak lagi juga diberi nafas baharu dengan memperkenalkan antaramuka yang jauh lebih ringkas dan mesra pengguna tanpa animasi-animasi yang tidak releven atau menyumbang kepada kebolehgunaanya.

Aplikasi Pihak Ketiga

Malangnya tidak banyak aplikasi pihak ketiga yang telah dikemaskini untuk memanfaatkan sistem OS terbaharu ini. Walaubagaimanapun, Facebook telah memperlihatkan pembaharuan kepada aplikasi versi Windows Phone di mana ia membuat perubahan kecil kepada antaramukanya dan menambahkan fungsi memain video secara automatik. Perubahan ketara juga dilihat pada prestasi memainkan video di mana ia kini dimainkan dengan lebih pantas dan stabill berbanding aplikasi versi Windows Phone 8.1

wp_ss_20160212_0001

Continuum

Malangnya telefon pintar kami tidak menyokong fungsi Continuum, jadi kami tidak dapat menguji fungsi ini. Tetapi dalam pengujian yang dibuat oleh pihak media lain di luar negara mendapati banyak lagi perlu dilakukan sebelum ia dilancarkan kepada umum.

Daripada ulasan tersebut, didapati perisiannya masih lagi kurang stabil dan berkemungkinan crash semasa pengguna sedang membuat kerja. Ia juga masih belum menyokong semua aplikasi untuk dijalankan pada peranti mudahalih. Tidak hairanlah mengapa Microsoft belum melancarkan OS ini secara rasmi untuk semua telefon pintar keluarannya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Antaramuka dan aplikasi berfungsi dengan lebih lancar berbanding versi sebelumnya. Malah telefon pintar boot dengan lebih pantas.
  • Sistem fail dan File Explorer yang membawa OS ini ke tahap yang lebih tinggi.
  • Kebolehan memuatturun dari Internet menggunakan Edge Browser.

Negetif

  • Masih mempunyai satu dua ralat di sana-sini, namun secara keseluruhan ia sudah cukup stabil untuk digunakan pengguna biasa.
  • Masih tiada banyak aplikasi utama yang menarik.

Kesimpulan

Dari sudut pandang seorang pengguna Windows Phone, Windows 10 Mobile merupakan satu penambahbaikan besar berbanding versi OS sebelumnya dari segi rekabentuk antaramuka, fungsi dan kelancaran pengalaman penggunaannya. Prospeknya jika dilihat dari segi OS sahaja, agak cerah.

Namun seperti yang kami katakan di awal artikel ini, kami tidak rasakan ia cukup untuk memenangi hati pengguna iOS mahupun Android.

Banyak lagi perlu dilakukan dari segi menggalakan pembangun membangunkan aplikasi Windows 10, tetapi jika ditanya kepada para pembangun aplikasi, mereka juga melihat kepada bilangan pengguna dan samada berbaloi untuk membangunkan aplikasi tersebut. Ini meletakkan Microsoft dalam satu masalah “Catch 22″di mana untuk mendapatkan lebih banyak pembangun aplikasi, ia memerlukan lebih banyak pengguna dan untuk mendapatkan lebih banyak pengguna, ia memerlukan lebih banyak aplikasi dari pembangun aplikasi.

Apa pun, jika anda ingin memuatturun versi Technical Preview ini, muatturun aplikasi Windows Insider dan pilih untuk menerima Insider Release Preview. Opsyen ini paling selamat di mana anda akan menerima versi paling stabil lebih awal dari biasa dan juga dapat memberi maklumbalas kepada Microsoft.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



To Top