Gaming

Acara Pelancaran Apple Membawa Pelbagai Produk Baharu

Acara pelancaran Apple telah berlangsung mulai 1 pagi tadi dan Apple telah melancarkan pelbagai produk baharu, ada yang menakjubkan, ada yang mengecewakan.

Acara Pelancaran Apple

Acara Pelancaran Apple Membawa Pelbagai Produk Baharu

Sebaik sahaja bermula, Tim Cook tidak membuang masa dengan memperkenalkan perkembangan terbaharu dengan Apple Watch. Ia akan didatangkan dengan lebih banyak rekaan dan pilihan tali jam, termasuk tali mewah keluaran Hermés yang diperbuat daripada kulit. Ia juga kini mempunyai 10,000 buah aplikasi di App Store termasuk beberapa yang baharu, Facebook Messenger, iTranslate dan aplikasi kawalan GoPro.

Tetapi tumpuan utama ialah pengumuman tarikh pelancaran Watch OS2 yang diumumkan pada 16 September 2015. (Klik gambar untuk membesarkannya).

iPad Pro

Namun salah satu produk menarik yang dilancarkan pagi tadi adalah iPad Pro. ia merupakan sebuah tablet 12.9 inci yang disasarkan kepada golongan professional seperti artis, jurutera yang menggunakan CAD dan pengarah filem. Berukuran 6.9 mm tebal dan berat 0.79kg, tablet ini dilengkapi dengan pemproses terbaharu dan paling berkuasa Apple A9X yang didakwa Apple 1.8 kali lebih pantas dari pemproses sebelumnya dan lebih pantas daripada 80% PC mudahalih yang berada di pasaran sejak 1 tahun lalu. Malah ia juga lebih pantas dari 90% daripada PC mudahalih itu dari segi prestasi grafik.

Selain itu ia mempunyai 4 buah speaker, satu di setiap penjurunya dan kekuatan bunyi di setiap penjuru itu di kawal untuk memberikan audio terbaik berdasarkan kedudukan iPad Pro itu, samada dipegang secara landskap mahupun portret. Paling menarik, ia boleh digunakan dengan aksesori terbaharu keluaran Apple, Apple Pencil yang merupakan sebuah stylus yang dapat digunakan untuk tugas-tugas yang memerlukan ketepatan seperti melukis. Skrin baharu Apple juga boleh mengesan tekanan yang dikenakan dan sudut pen itu sedang digunakan yang akan menentukan ketebalan garisan yang dilukis, terutamanya pada perisian kesenian.

iPad Pro akan dijual pada harga USD799 untuk versi Wi-Fi 32GB, USD949 untuk versi Wi-Fi 128GB dan USD1079 untuk versi 128GB yang menyokong 4G dan LTE Advanced.

Apple TV

Ramai yang tertunggu-tunggu pengumuman Apple TV yang dikhabarkan mempunyai lebih keupayaan dalam bidang gaming. Apple tidak menghampakan dengan memeperkenalkan Apple TV baharu yang dipertingkatkan dengan antaramuka media yang lebih baik hasil pengguna tvOS baharu dan kebolehan memuatturun serta bermain permainan video menggunakan alat kawalan baharu yang dilengkapi touchpad.

Bukan itu sahaja, malah pengguna boleh mengajak rakan untuk bermain bersama jika pereka mempunyai iPhone atau iPod Touch untuk dijadikan alat kawalan dan pemproses A8 padanya membolehkan permainan video dijalankan pada resolusi HD penuh dengan lancar.

Alat kawalan in juga mempunyai butang Siri di mana pengguna boleh menggunakan bahasa percakapa biasa untuk mencari maklumat, filem atau permainan video yang dikehendaki. Walaubagaimanapun buat masa ini Siri tidak boleh digunakan di semua negara.

Apple TV dijual pada harga USD 149 untuk versi 32GB ruang storan dan USD199 untuk versi 64GB ruang storan. Ia akan mula dipasarkan penghujung bulan Oktober.

iPhone 6S dan iPhone 6S Plus

Produk paling kurang memberangsangkan pada acara pelancaran awal pagi tadi adalah iPhone 6S dan iPhone 6S Plus. Seperti yang dijangka, rekabentuk dan saiz kedua-dua buah peranti ini tidak berubah. Malah kebanyakan spesifikasinya juga tidak berubah, kecuali dilengkapi dengan pemproses Apple A9 dan pemproses gerakan M9.

Hasil gabungan pemproses baharu dengan kamera 12MP baharu membolehkan telefon pintar ini mengambil video 4K dan juga mengedit video 4K pada telefon pintar itu sendiri. Malah pada acara tersebut Apple telah menunjukkan sebuah video yang dirakam dan diedit terus pada iPhone 6S menggunakan iMovies.

Kamera hadapan 5MP juga menerima satu fungsi baharu di mana keseluruhan skrin boleh dijadikan flash, membolehkan foto selfie dibuat dalam keadaan yang lebih gelap. Fungsi True Tone Flash pula memastikan tona flash paling optimum dihasilkan.

Satu lagi fungsi yang diperkenalkan pada iPhone 6S melalui iOS 9 ialah Live Photos di mana kamera mengambil beberapa saat video untuk diabadikan sebagai gambar bergerak. Fungsi ini sebenarnya telah diperkenalkan pada Windows Phone sejak dahulu lagi, namun Apple berjaya menjalankan fungsi ini dengan lebih lancar.

Selain itu, skrin baharunya kini dilengkapi apa yang dipanggil 3D Touch. Tetapi pada pendapat kami ia hanya nama lain bagi Force Touch. Seperti Force Touch, 3D Touch membolehkan pengguna menjalankan fungsi tambahan bergantung kepada daya yang dikenakan ke atas skrin.

Apple telah mendedahkan harga jualan iPhone 6S sebagai USD199 dan iPhone 6S Plus sebagai USD299 dengan 2 tahun kontrak, namun tidak mendedahkan harga peranti tanpa kontrak. Tetapi dijangkakan harganya sama dengan harga iPhone 6 (lebih mahal di Malaysia akibat kejatuhan Ringgit Malaysia).

Telefon-telefon pintar ini boleh mula ditempah pada 12 September dan akan mula diedarkan pada 25 September di sebilangan negara tertentu sebelum ke negara-negara lain tidak lama selepas itu.

Lain-lain

Selain itu, Apple telah mengumumkan iOS 9 akan mula diedarkan pada 16 September, manakalah Mac OS X El Capitan akan diedarkan pada 30 September. Mereka juga mengumumkan harga baharu perkhidmatan storan iCloud yang boleh diperoleh dari USD0.99 sebulan untuk 50GB.

Acara kemudiannya ditamatkan dengan persembahan dari One Republic.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top