Telefon Pintar

Butiran Samsung Galaxy S8 Bocor Lagi

Dengan pelancaran rasmi Samsung Galaxy S8  dalam masa dua minggu lagi, tidak banyak masa yang tinggal untuk para penganalis menyatakan ramalan mereka mengenai telefon pintar tersebut. Namun, ini tidak menghalang penganalis KGI Securities, Ming-Chi Kuo, untuk memberi kata dua mengenai telefon pintar itu.

Butiran Samsung Galaxy S8 Bocor Lagi

Ming-Chi Kuo mempunyai sejarah yang baik dalam mendedahkan peranti=peranti baharu Apple dan ada baiknya mendengar pendapatnya mengenai telefon pintar S8 ini, walaupun ia belum disahkan dengan muktamad. Pertama sekali, beliau mendedahkan tarikh mula jualannya adalah pada 21 April, sekaligus mengesahkan maklumat yang diperolehi sebelum ini.

Seperti yang diramalkan oleh penganalis lain, Ming-Chi Kuo turut menjangkakan terdapat dua varian telefon pintar itu, kedua-duanya dilengkapi skrin OLED yang mempunyai resolusi WQHD+ 2,960 x 2,400 piksel. Pengguna dapat memilih antara model 5.8 inci dengan bateri 3,000 mAh atau model 6.2 inci dengan bateri 3,500 mAh pada hari pelancarannya.

Menurutnya lagi, US, China dan Jepun akan mendapat model yang dilengkapi pemproses Snapdragon 835 manakala Eropah dan lain-lain negara Asia akan mendapat model dengan pemproses Exynos 8895 keluaran Samsung sendiri. Jumlah RAM juga berbeza, dengan Korea dan China dilaporkan akan mendapat model dengan 6GB RAM manakala negara lain akan mendapat model dengan 4GB RAM.

Bagi kameranya pula, dilaporkan bahawa ia akan dilengkapi dengan kamera utama 12MP dan kamera hadapan 8MP, sekali lagi meletakkan ramalan Ming-Chi Kuo selari dengan penganalis lain. Beliau juga mengatakan telefon pintar itu akan dilengkapi skrin 3D melengkung dan juga port USB-C.

Tidak banyak maklumat baharu yang didedahkan Ming-Chi Kuo, namun memandangkan pengalamannya meramalkan dengan tepat butiran mengenai peranti-peranti, kenyataannya memberikan lebih kredibiliti kepada maklumat yang berlegar-legar di ruang siber selama ini. Nampaknya Samsung perlu berusaha lebih untuk membuatkan kejutan pada hari pelancaran perati tersebut.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top