Telefon Pintar

Menyaingi Spesifikasi iPhone Tidak Semudah Disangka

Ramai menganggap Apple seperti tidak mengambil kisah tentang spesifikasi telefon pintar iPhone, malah spesifikasinya jauh ketinggalan berbanding telefon pintar Android sejak beberapa tahun lalu. Namun isunya bukan Apple tidak kisah, tetapi spesifikasi peranti mempunyai makna berlainan dalam ekosistem Android berbanding iOS.

iphone7-rosegold-650-80

Menyaingi Spesifikasi iPhone Tidak Semudah Disangka

Sebagai contoh, bateri iPhone. Dalam pelancaran Huawei Nova baru-baru ini di IFA 2016, telefon pintar itu dipromosikan mempunyai bateri berkapasiti hampir dua kali ganda iPhone 6S. Ini merupakan perbandingan kurang tepat antara iPhone dengan pesaing-pesaing Androidnya. Soalnya bukan kapasiti bateri, sebaliknya jangkahayat bateri. Untuk bersaing dengan iPhone, pengeluar telefon pintar Android terpaksa menghasilkan bateri yang berkapasiti lebih besar bagi mengimbangi ketidakcekapan yang ada pada telefon-telefon Android. Kebanyakan telefon pintar Android berspesifikasi tinggi mempunyai skrin lebih besar dari skrin 4.7 inci pada iPhone 7 dan 5.5 inci pada iPhone 7 Plus. Malah iPhone 7 Plus mempunyai bateri berkapsiti hanya 2900mAh di mana kebanyakan telefon pintar Android bersaiz sama atau lebih besar mempunyai kapasiti minimum 3000mAh.

Implikasi kepada ketidakcekapan penggunaan tenaga ini adalah, untuk menyaingi jangkahayat bateri pada ketebalan telefon pintar iPhone, pengeluar bukan sahaja perlu menyamai prestasinya, malah perlu membuat lebih baik darinya. Ini kerana bateri yang berkapasiti lebih tinggi akan memakan ruang pada telefon pintar, jadi pengeluar tersebut perlu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga perkakasan telefon pintar itu (memandangkan ia tidak mampu mengubah kecekapan Android OS). Analoginya ialah pengeluar telefon pintar Android perlu berlari untuk menyamai kelajuan berjalan iPhone. Tambahan pula, bateri lebih besar memerlukan lebih masa untuk dicas semula. Timbul pula keperluan untuk menghasilkan teknologi pengecasan pantas.

Strategi Samsung dalam menyaingi Apple adalah untuk mencapai pencapaian teknologi perkakasan terbaharu sebelum Apple. Strategi ini tidak salah, tetapi kesannya dapat dilihat pada Samsung Galaxy Note 7 yang dipanggil semula kerana bateri yang bermasalah dan terbakar. Namapaknya mereka telah ditekan teralalu hebat untuk menghasilkan bateri lebih padat dan metod pengecasan pantas yang lebih agresif.

Sementara kebanyakan pengelauar telefon pintar merebut untuk tempat teratas dalam senarai pengeluar telefon pintar Andriod, Apple secara tenang menambah satu demi satu ciri-ciri yang belum ada pada iPhone sebelumnya seperti ciri kalis air dan habuk, speaker stereo dan LTE Advanced untuk kelajuan rangkaian yang lebih pantas.

Efisyensi telefon pintar iPhone datangnya dari dua faktor utama: Kesemua model-modelnya tidak mempunyai resolusi skrin tertinggi dan ia tidak mempunayi jumlah RAM sebanyak telefon pintar Android.

Resolusi Skrin

Bagi isu resolusi, ia merupakan salah satu kes yang menunjukkan pentingnya untuk mengetahui bila resolusi skrin tidak lagi penting. Telefon pintar Samsung, LG, HTC dan sebagainya telah mencapai resolusi Quad HD, tetapi tiada antara skrin telefon pintar tersebut kelihatan lebih baik dari skrin iPhone 6S ataupun iPhone 7. Dengan kata lain, sehingga ke satu resolusi tertentu, pengguna tidak dapat membezakan antara QHD dan Retina Display. Kurangnya bilangan piksel bermakna Apple dapat menjimatkan tenaga bateri.

Memori

Dari segi memori, terdapat perbezaan ketara antara falsfah Apple dan Android. Apple tegas dalam membuang proses latarbelakang dan membuang aplikasi latarbelakang dari memori dalam iOS, sebaliknya Android tidak begitu tegas dalam penggunaan memori dalam Android (tetapi ia sedang bergerak ke arah falsafah Apple). Hasilnya, iOS pada iPhone terasa begitu lancar walaupun mempunyai hanya setengah daripada jumlah RAM telefon pintar Android. RAM juga memakan kuasa bateri, jadi, semakin kurang RAM, kurang penggunaan tenaga.

Fragmentasi

Pengeluar Android menjadikan pencapaian perkakasan sebagai satu kebanggaan, tetapi kalaupun ia berjaya mengatasi masalah efisyensi tenaga berkaitan skrin, RAM dan sebagainya, ia masih menghadapi masalah fragmentasi. Setiap generasi baharu iPhone hanya mempunyai satu pemproses dan  dua saiz skrin. Ini memudahkan pembangun permainan video mengetahui keperluan sistem aplikasi permainan terbaharu mereka. Dengan Android, terdapat terlalu banyak jenis pemproses dan cip grafik, saiz skrin dan resolusi serta ketiadaan spesifikasi minimum bagi peranti atau API perisian. Tambahan pula tidak semua pengguna Android menggunakan versi Android yang sama.

Apple pula mengumumkan ia telah menjual sebanyak 1 billion peranti iPhone dan jumlah bertambah setiap tahun. Model iPhone terbaharu dilengkapi pemproses terpantas dan terbaik sekaligus mewujudkan satu platform yang sangat menarik minat para pembangun perisian dan permainan video. Tidak mengejutkan bahawa permainan video telefon pintar Nintendo pertama diterbitkan terlebih dahulu pada pelatform iOS. Sebuah pembangun boleh melaburkan lebih banyak wang dan keyakinan pada sebuah permainan iOS di mana perkakasannya didefinisikan dengan lebih jelas dan penggunanya sanggup berbelanja pada aplikasi dan permainan. Inilah kelebihan sebuah syarikat yang berupaya membangunkan OS, chip tersendiri serta perkakasan pada masa yang sama.

Kesimpulan

Walaubagaimanapun, di Malaysia, trend pembelian telefon pintar berbeza di mana pada tahun 2014, 9 daripada 10 telefon pintar dibeli di Malaysia adalah telefon pintar Android, bermakna kesan perbezaan antara iPhone tidak banyak dirasai di kalangan pengguna telefon pintar Malaysia. Barangkali faktor kuasa membeli pengguna Malaysia tidak memungkinkan iPhone menjadi sebuah telefon pintar pilihan ramai. Mungkin juga pengguna Malaysia tidak menggemari strategi Apple yang dilihat mengongkong dan sentiasa ingin menjual aksesorinya pada harga yang tinggi. Kebebasan menjadi keutamaan pengguna Malaysia.

Namun kesimpulan yang ingin dibuat ialah suka atau tidak, iOS merupakan satu platform yang lebih menguntungkan dari segi perkakasan mahupun kepada pembangun perisian, jika tidak, masakan ia boleh menjadi atara syarikat terbesar di dunia. Oleh kerana proses pembangunan lebih mudah hasil spesifikasi yang didefinisikan dengan jelas dan kemungkinan untuk mendapat keuntungan melalui platform tersebut lebih tinggi ramai yang pembangun aplikasi lebih cenderung membangun pada platform berkenaan.

Pengeluar telefon pintar Android juga mengalami kesukaran untuk menandingi Apple iPhone, bukan 100% kerana kelemahan mereka. Sebaliknya mereka mempunyai kurang kawalan ke atas Android OS yang menyukarkan mereka untuk mengoptimasikannya dengan peranti yang dikeluarkan mereka. Mungkin dunia Android boleh menjadi lebih hebat sekiranya satu bentuk standard atau piawai diperkenalkan kepada pengeluar bagi mengawalselia spesifikasi peranti perprestasi tinggi, sederhana dan rendah bagi mengoptimumkan Android OS kepada peranti jenis tersebut. Satu mekanisma baharu juga perlu diperkenalkan untuk memastikan semua peranti Android dinaiktaraf dengan lebih mudah dan cepat. Hanya dengan itu para mengeluar akan lebih tertarik untuk kekal membangun pada platform berkenaan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top