Telefon Pintar

Nokia 3310 baharu telah dilancarkan

Telefon bimbit Nokia 3310 telah menjadi ikon popular sekitar awal 2000an dan sehingga kini ia masih berstatus lagenda di kalangan pengguna (atau bekas pengguna) telefon bimbit yang aktif pada zaman itu. Kini Nokia, di bawah kelolaan syarikat HMD Global, telah melancarkan Nokia 3310 baharu.

Nokia 3310 baharu telah dilancarkan

Peminat-peminat Nokia tentu tertunggu-tunggu pelancaran telefon bimbit lagenda, Nokia 3310 dan berikut adalah maklumat-maklumat ringkas mengenai telefon bimbit berkenaan.

Tarikh Jualan

Jualannya dijadualkan untuk suku kedua tahun ini iaitu sekitar bulan April – Jun dan dilaporkan ia akan dijual secara global pada harga sekitar USD 40.

Rekabentuk

Telefon bimbit ini diilhamkan rekabentuk klasik Nokia 3310, tetapi dengan citarasa lebih moden. Susun atur butang nombor dan bingkai skrin ternyata mempunyai persamaan dengan model lama. Ukurannya juga cukup mudahalih dengan ukuran 115.6 x 51.0 x 12.8mm dan mempunyai berat hanya 79.6g.

Selain itu, ia dilengkapi dengan jek headphone di bahagian atas dan port Micro USB di bahagian bawahnya untuk mengecas. Di bahagian dalam pula terdapat slot kad Micro SD yan gmenyokong kad berkapasiti sehingga 32GB. Ia tersedia dalam 4 warna, biru, kelabu, kuning cerah dan merah suam.

Skrin

Di zaman skrin telefon pintar mencapai saiz sehingga lebih 6 inci, Nokia 3310 mengambil arah yang bertentangan dengan menyediakan skrin warna bersaiz hanya sebesar 2.4 inci QVGA (240 x 320). Walaupun ia cukup besar untuk membaca teks, anda mungkin tidak mahu menonton video padanya. Skrin tersebut diliputi tetingkap melengkung berpolar bagi lebih kejelasan dalam situasi persekitaran yang cerah.

Bateri

Nokia 3310 yang asal terkenal dengan ketahanan baterinya. Bagi model baharu ini pula, anda tidak akan hampa kerana Nokia mendakwa baterinya boleh bertahan selama 31 hari dalam mod sedia dan masa bercakap sehingga 22 jam. Sebagai perbandingan, model asal hanya mempunyai ketahanan bateri selama 11 jam dan masa bercakap selama 2.5 jam.

Kamera

Kamera pada model baharu ini bukanlah sesuatu yang boleh dibangga-banggakan. Ia merupakan sebuah kamera 2MP di bahagian belakangnya dan tidak mempunyai sebarang ciri-ciri istimewa selain zum digital. Sesuai hanya untuk mengambil gambar biasa sahaja.

Antaramuka

Sebagai sebuah telefon bimbit, telefon pintar ini didatangkan dengan antaramuka telefon bimbit. Secara tepatnya antaramuka Nokia 30+ series. Dikawal menggunakan D-pad di bawah skrin, antaramuka ini menawarkan beberapa pilihan seperti log panggilan, senarai kenalan, mesej, kalendar, aplikasi kamera dan pelayar web Opera. Tidak dilupakan permainan legenda Snake yang diberi nafas baharu.

Ia didatangkan hanya dengan sambungan 2.5G dan tidak mempunyai kebolehan Wi-Fi, bermakna anda tidak dapat melayari web seperti pada peranti lain yang lebih berspesifikasi moden.

Penilaian

Pada pendapat kami, Nokia 3310 baharu merupakan satu langkah bijak pihak Nokia memandangkan syarikat itu dapat memanfaatkan populariti peranti tersebut untuk melancarkan semula perniagaan telefon bimbitnya. Tambahan pula, sebelum bahagian telefon pintar Nokia dijual kepada Microsoft, ia sememangnya telah menguasai pasaran telefon bimbit di pasaran negara membangun.

Mungkin dalam iterasi akan datang, jika ia boleh menyertakan kebolehan menjalankan aplikasi seperti WhatsApp dan Instagram dalam telefon bimbitnya, mungkin ia boleh menguasai pasaran lebih besar dari pasaran yang ia telahpun kuasai.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top