Telefon Pintar

Pelancaran Samsung Galaxy S8 dan S8+

Malam tadi telah berlangsung acara pelancaran rasmi Samsung Galaxy S8 dan selepas sekian lama kita menerima gambar-gambar dan maklumat telefon pintar itu yang dibocorkan, akhirnya kita boleh mengetahui segalanya mengenai telefon pintar itu. Samsung juga telah melancarkan beberapa aksesori lain yang menarik pada acara tersebut seperti Gear 360, Bixby, Samsung Home Connect dan Samsung Dex.

Pelancaran Samsung Galaxy S8 dan S8+

Pertama sekali mengenai Samsung Galaxy S8. Ia ditawarkan dalam dua model, iaitu Samsung Galaxy S8(5.8 inci) dan Galaxy S8+(6.2 inci). Sepintas lalu ciri-cirinya adalah seperti berikut:

Samsung Galaxy S8

Dimensi: 148.9 x 68 x 8mm
Saiz skrin
: 5.8 inci
Resolusi: 1440 x 2960 (QHD+)
Pemproses: Exynos 8895 / Snapdragon 835
RAM: 4GB
Storan: 64GB
Kamera utama: 12MP
Kamera hadapan: 8MP
Bateri: 3,000mAh

Samsung Galaxy S8+

Dimensi: 159.5 x 73.4 x 8.1 mm
Saiz skrin
: 6.2 inci
Resolusi: 1440 x 2960 (QHD+)
Pemproses: Exynos 8895 / Snapdragon 835
RAM: 4GB
Storan: 64GB
Kamera utama: 12MP
Kamera hadapan: 8MP
Bateri: 3,500mAh

Di samping itu, kedua-dua model juga mempunyai ciri-ciri berikut:
– Pengimbas cap jari di bahagian belakang
– Kalis air dan habuk (IP68)
– Tiada butang Home fizikal
– Pengimbas iris
– Pembantu AI digital Bixby
– Jek headphone.

Selain ciri-ciri fizikal yang biasa, beberapa ciri baharu yang menarik ingin kami ketengahkan iaitu skrin Infinity Display melengkung, pengimbas iris (dan juga pengimbas muka), butang Home maya, Bixby dan Samsung DeX.

Skrin Infinity

Rekabentuk skrin melengkung menjadi tumpuan utama telefon pintar terbaharu Samsung ini. Kali ini Samsung menjadikan skrin melengkung di bahagian tepi dan penjurunya ini sebagai rekabentuk standard bagi telefon pintar Galaxy S keluarannya. Ini bermakna Galaxy S Edge sudah tidak akan dikeluarkan, sebaliknya rekabentuknya diserap kedalam model Galaxy S. Skrin melengkung ini membolehkan Samsung memuatkan skrin yang lebih besar ke dalam telefon pintar yang lebih kurang sama ukurannya dengan model Galaxy S7 dan S7+.

Skrin ini juga mempunyai sokongan video HDR dan dengan kerjasama Netflix, pengguna boleh menikmati kandungan HDR yang distrim menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pengimbas Iris

Pengimbas iris ini pernah dilengkapkan pada Samsung Galaxy Note 7 dahulu di mana ia mengimbas anak mata atau iris untuk mendapat verifikasi penguna untuk membuka kekunci telefon pintar. Di samping itu telefon pintar ini juga dilengkapi dengan teknologi pengecaman muka. Walaupun ia tidak mempunyai tahap keselamatan yang sama dengan pengimbas iris atau cap jari, ia pantas dan pengguna hanya perlu memandang telefon pintar dan ia terus akan dinyahkuncikan.

Butang Home Maya

Untuk memaksimakan runag skrin, Samsung telah mengalih keluar butang Home fizikal dan menggantikannya dengan butang Home maya. Menariknya, apabila ditekan, butang ini akan memberikan tindakbalas “haptik” seperti yang terdapat pada trackpad Apple dengan Force Touch dan walaupun dalam sesetengah situasi ia tidak kelihatan, pengguna masih boleh menekan pada sekitar tempat letaknya butang itu untuk pulang ke skrin utama.

Samsung Galaxy S8

Samsung Bixby

Samsung Bixby merupakan pembantu peribadi digital yang dibangunkan Samsung. Kelebihannya adalah AInya memahami konteks interaksi yang dilakukannya dengan penggunanya dengan bantuan kamera, suara dan sentuhannya, bagi menyediakan maklumat yang tepat dan dimahukan penggunanya.

Samsung DeX

Samsung DeX boleh disamakan dengan Microsoft Continuum untuk Windows 10 Mobile. Ia memberikan pengalaman desktop kepada pengguna dengan hanya menggunakan telefon pintar Galaxy S8 dan S8+. Ia adalah versi Android yang diubahsuai dengan antaramuka desktop. Satu dok digunakan untuk menghubungkan telefon pintar itu dengan monitor, keyboard dan mouse. Setelah dihubungkan, ia akan terus memasuki mod dekstop, dan pengguna boleh membuat kerja-kerja seperti MS Office, melayari web dan email sepertimana boleh dilakukan pada sebuah Chromebook.

Sebuah Telefon Pintar Selamat

Untuk Samsung Galaxy S8 dan S8+, Samsung telah menerapkan ciri-ciri popular yang terdapat pada telefon-telefon pintarnya seperti skrin melengkung, pengimbas cap jari dan iris, dan ciri kalis air dan habuk. Walaubagaimanapun, ia dilihat sebagai rekabentuk selamat dan tidak menampilkan ciri-ciri yang innovatif atau lain dari yang lain.

Samsung DeX merupakan satu ciri yang menarik, walaupun bukan perkara baharu memandangkan Microsoft telahpun melakukannya untuk Windows 10 Mobile. Namun, penggunaan telefon pintar sebagai pengganti desktop bukanlah suatu cara kerja yang telah diterima secara meluas di kalangan pengguna telefon pintar. Lagipun, Microsoft telah berada di hadapan dalam bidang “convergence computing” ini di mana Windows 10 Mobile telah boleh melarikan program x86 pada peranti ARM. Ini hampir mustahil untuk dilakukan oleh pesaing Microsoft. Oleh kerana itu, kami tidak melihat Samsung DeX sebagai satu “game changer” dalam dunia telefon pintar.

Samsung Galaxy S8 dan S8+ akan dijual di Malaysia masing-masing pada harga RM3,099 dan RM3,299. Tarikh tepat ia mula dijual tidak dapat dipastikan, tetapi dijangka sekitar 28 April ini.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top