Telefon Pintar

Samsung Memanggil Semula Dan Menggantung Jualan Galaxy Note 7

Samsung mengesahkan secara rasmi ia memanggil semula dan menggantung jualan telefon pintar Samsung Galaxy Note 7. Ini berikutan laporan bahawa telefon pintar itu terbakar semasa digunakan. Setakat ini lebih kurang 35 kes telah dilaporkan sekaligus memaksa Samsung bertindak.

Samsung Galaxy Note 7-7-970-80

Samsung Memanggil Semula Dan Menggantung Jualan Galaxy Note 7

Dalam satu kenyataan yang dibuat Samsung, syarikat itu berkata:

“Samsung komited untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi dan kami mengambil setiap laporan kejadian dari pelanggan kami yang dihargai dengan serius. Sebagai tindak balas kepada kes-kes yang dilaporkan baru-baru ini mengenai Galaxy Note 7 baru, kami telah menjalankan siasatan terperinci dan menjumpai isu berkaitan sel bateri.

“Setakat ini (pada 1 September) terdapat 35 kes yang telah dilaporkan di seluruh dunia dan kami sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh dengan pembekal kami untuk mengenal pasti bateri-bateri yang terjejas di pasaran. Walau bagaimanapun, kerana keselamatan pelanggan-pelanggan kami adalah keutamaan mutlak di Samsung, kami telah menghentikan jualan Galaxy Note 7.

“Bagi pelanggan yang sudah mempunyai peranti Galaxy Note 7, kami secara sukarela akan menggantikan peranti sedia ada mereka dengan yang baru sepanjang minggu akan datang.

“Kami mengakui kesulitan yang mungkin terjadi di pasaran tetapi ini adalah untuk memastikan Samsung terus menghasilkan produk yang berkualiti tinggi kepada pelanggan kami. Kami sedang bekerja rapat dengan rakan kongsi kami untuk memastikan proses penggantian adalah mudah dan cekap yang mungkin.”

Sebelum ini, Samsung berkata ia akan mengambil masa 2 minggu untuk menyediakan pengganti telefon pintar itu, tetapi kini ia telah mengesahkan bahawa semua telefon pintar itu akan dikembalikan untuk menjalani penukaran bateri.

Seorang pegawai yang enggan dikenali bercakap dengan Yonhap News berkata: “Produk yang dipasang dengan bateri bermasalah itu hanya berjumlah 0.1 peratus dari jumlah peranti yang dijual.”

Namun apa pun kisahnya, krisis ini telah menconteng arang ke muka Samsung, di mana harga sahamnya merudum berikutan berita tersebut. Jenama telefon pintar tersebut menikmati peningkatan besar hasil jualan model Galaxy S7 dan Note 7 yang lebih tinggi dari jangkaan serta menerima pujian pelbagai pihak media. Samada episod ini akan memberi kesan kepada jualannya, hanya masa akan menentukan.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top