Telefon Pintar

Sony Xperia XZ Premium Dengan Fungsi Video Gerak Perlahan 960fps

Sony telah menjalani rasionalisasi model telefon pintar di mana ia mengurangkan bilangan model telefon pintarnya ke satu angka yang munasabah. Ini telah mendatangkan kesan positif kepada syarikat itu dengan mencatatkan keuntungan kecil pada tahun 2016. Terbaharu, ia melancarkan Sony Xperia XZ Premium pada acara MWC 2017 di Barcalona.

Sony Xperia XZ Premium

Sony Xperia XZ Premium Dengan Fungsi Video Gerak Perlahan 960fps

Sony merupakan sebuah syarikat yang masih belum mendapat formula kemenangan dalam buatan telefon pintarnya. Ia mempunyai kebolehan menghasilkan komponen berteknologi tinggi, malah banyak telefon pintar menggunakan teknologi kamera keluarannya termasuk Apple, One Plus dan beberapa syarikat pengeluar telefon pintar.

Begitu juga dengan teknologi skrin. Ramai beranggapan skrin 4K pada telefon pintar tidak lagi realistik kerana ia tiada fungsi praktikal. Walaubagaimanapun Sony telah melengkapkan Sony Xperia XZ Premium dengan skrin 4K dengan sokongan HDR. Mungkinkah model telefon pintar ini bakal menjadi formula kemenangan Sony yang ditunggu-tunggu?

Selain dilengkapi skrin 5.5 inci 4k dengan sokongan HDR, telefon pintar ini dilengkapi pemproses Snapdragon 835 terbaharu dari Qualcomm, 4GB RAM dan android 7.1.1 serta ciri kalis air terbaik. Ia turut didatangkan dengan pengimbas cap jari dibina ke dalam butang kuasanya. Ia menggunapakai port USB-C untuk mengecas dan terdapat juga jek headphone padanya.

Telefon pintar ini menampilkan rekabentuk yang tidak jauh berbeza dari model-model Xperia sebelum ini. Bezanya model Sony Xperia XZ Premium mempunyai kemasan berkilau bak cermin di bahagian belakangnya.

Sony Xperia XZ Premium

Sony juga telah mengadakan kerjasama dengan Amazon untuk mendapatkan kandungan HDR bagi memanfaatkan skrin 4K HDR padanya. LG juga membuat kerjasama yang sama dengan Amazon untuk LG G4 keluarannya, tetapi Sony telah menambah kebolehan menstrim kandungan 4K juga.

Namun ciri paling utamanya adalah kameranya. Ia tidaklah mempunyai bilangan MP sehingga melebihi 20MP, tetapi kameranya cukup berkeupayaan. Kamera 19MP padanya mempunyai sensor yang lebih besar untuk membolehkan lebih banyak cahaya masuk ke sensor. Ini bermakna gambar dalam keadaan persekitaran yang kurang bercahaya akan lebih indah dan terang.

Satu perkara yang telah ditambahbaik Sony pada kamera ini ialah sensor Motion Eye yang kini boleh memproses imej 5 kali lebih pantas. Ini direka untuk mengambil gambar sebelum anda menekan butang, kemudian menjangkakan imej terbaik untuk anda.

Fungsi gerak perlahannya juga merupakan satu fungsi yang menakjubkan. Ia boleh mengambil sehingga 960 bingkai sesaat untuk gambar gerak perlahan yang lancar dan jelas. Namun video gerak perlahan ini hanya boleh diambil pada resolusi 720p dan tidak sesuai diambil di persekitaran kurang bercahaya kerana ganguan (noise) akan kelihatan pada video dalam keadaan kurang bercahaya.

Bagi kami telefon pintar ini boleh disasarkan kepada pengguna yang celik media, atau mereka yang sememangnya berkecimpung dalam bidang media samada secara persendirian atau dengan syarikat. Kameranya yang berpotensi tinggi boleh menjadi alternatif kepada kamera kompak 4K yang biasanya digunakan untuk rakaman luar dalam aktiviti lasak.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top