Umum

5 Pengumuman Penting dari Google IO

Hari pertama acara Google IO menampilkan pelbagai kejutan yang menarik. Seperti yang dilihat kebelakangan ini, pembelajaran mesin (machine learning) menjadi fokus dalam produk Google yang diperkenalkan. Berikut adalah 5 pengumuman penting pada acara Google IO.

Google IO

5 Pengumuman Penting dari Google IO

Pertama sekali, versi sistem pengoperasian terbaharu Android O telah diperkatakan dalam acara ini. Tidak diketahui apa yang dimaksudkan dengan “O” namun kini lebih banyak diketahui tentang apa yang boleh diharapkan menjelang pelancarannya musim panas ini (Julai/Ogos).

Android O

Pertama sekali, Android O telah mencapai status beta bermakna ia lebih stabil, sekaligus memudahkan lagi mereka yang ingin mencubanya, memuatturun OS tersebut ke telefon pintar mereka.

Antara kelebihan yang diketengahkan adalah masa mula yang lebih singkat, menu opsyen kontekstual yang menjadikan navigasi lebih mudah dan mod gambar dalam gambar yang menarik.

Google Lens

Kini kamera telefon pintar anda bukan setakat sebuah kamera. Dengan adanya Google Lens yang akan dilancarkan lewat tahun ini, anda akan boleh mengambil gambar yang menakjubkan hasil kebolehan pembelajaran mesin. Jika subjek foto anda dihalang objek di hadapannya, Lens boleh memadamnya secara automatik.

Selain itu, melalui Lens, data dalam gambar anda boleh digunakan oleh telefon pintar. Sebagai contoh, alamat restoran dalam latarbelakang boleh dicapai dengan mudah hasil penggunaan teknologi perisian kamera pintar Google.

Daydream

Google mengumumkan bahawa dengan kerjasama Qualcomm, headset VR Daydream tidak memerlukan telefon pintar untuk beroperasi. Segala yang diperlukannya untuk beroperasi berada di dalam peranti tersebut, termasuk semua sensor yang menesan kedudukan dan pergerakan pengguna.

Dalam pengumuman mengejut, HTC mengumumkan headset semua dalam satu Vive keluarannya akan menyokong Google Daydream. Lenovo juga akan mengeluarkan sebuah headset juga dan banyak lagi pengeluar yang akan turut serta.

Google juga mengumumkan bahawa telefon pintar utama LG yang seterusnya serta Samsung Galaxy S8 turut akan serasi dengan Daydream tidak lama lagi.

Google Assistant

Google Assistant yang dilancarkan pada acara Google IO tahun lepas juga mencuri tumpuan. Dengan adanya Google Lens, ia mempunyai kebolehan yang lebih banyak.

Anda boleh menterjemah perkataan dalam bahasa asing secara langsung menggunakan kamera. Kemudian Google akan membolehkan anda menulis teks kepada Assistant untuk situasi yang tidak membenarkan anda bercakap. Ia juga lebih pintar dan berkeupayaan tinggi dalam fungsi-fungsi Google Home.

Google juga mengumumkan Assistant akan hadir ke iOS, yang merupakan berita besar. Assistant kini boleh hidup sebumbung dengan Siri dalam iOS, sekaligus merupakan satu cabaran langsung kepada Apple untuk mengumumkan penambahbaikan kepada Siri pada acara WWDC 2017.

Android Go

Masihkah anda ingat projek Android One yang dibatalkan tidak lama dahulu? Android Go merupakan penggantinya, di mana ia merupakan versi Android untuk telefon pintar bajet yang kurang berkuasa. Ia membolehkan telefon pintar dengan jumlah RAM serendah 512MB ke 1GB melarikan perisian Android terbaharu dan terbaik.

Ia disasarkan kepada pasaran negara membangun di mana pilihan telefon pintar berkualiti sukar diperolehi. Namun untuk tidak mengelirukan pengguna yang berfikir bahawa Android O hanya untuk telefon pintar berspesifikasi tinggi, Google mengatakan OS itu boleh diskalakan untuk pengguna di pelbagai peringkat.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Popular

To Top